Sebagai orang yang masih sedang merangkak dalam hal ini,pastinya banyak kelemahan dan kekurangan daripada hasil folio yang telah disiapkan.Jadi saya mengambil keputusan untuk berkongsi daripada perkongsian orang yang lebih fasih..
Semoga bermanfaat..
ISLAM HANYA MENGHARUSKAN POLIGAMI
BUKAN MENGGALAKKANNYA
FATIMAH SYARHA MOHD NOORDIN
Realiti 3 Golongan
Sering kali apabila memperkatakan tentang poligami, kita dapat melihat orang yang berkata itu tergolong dalam salah satu daripada 3 golongan. Malah, kita boleh memeriksa diri kita sendiri juga samada berada di golongan mana dalam pendirian melibatkan isu sensitif ini. 3 golongan yang dimaksudkan ialah:
1. Tradisional
2. Ekstrim
3. Pertengahan
Golongan Tradisional
Golongan tradisional ini adalah golongan yang menganggap poligami itu digalakkan.
Jika ia seorang suami, dia suka menakut-nakutkan isterinya dengan ancaman untuk berpoligami dengan beralasankan ia suatu sunnah.
“Tak nak payung mas?” Ancaman yang paling mahsyur.
“Poligami ni kalau kita cakap-cakap suatu bid’ah, kalau kita nak buat saja.” Hujah lain menyusul.
“Saya memang dah berkahwin tapi bujang lagi 3. Islam kan suruh sampai 4. Nabi pun buat sampai 9, 11 atau 13,” gurau seorang lagi. Suami sebegini biasanya kegatalannya agak terserlah. Isteri yang menolaknya dianggap ego, mengikut emosi dan menolak sunnah.
“Abang tak kira, abang nak tambah lagi satu. Kalau kamu berkeras nak minta cerai, nanti tak dapat cium bau syurga sebab tolak sunnah Nabi.”
Lebih dahsyat lagi ada hujah yang berkata,
“Kalau awak tak izin abang kahwin lagi, awak jatuh kafir, tahu! Tolak syariat Allah!”
Jika ia seorang ustaz, dia suka menyelitkan unsur lawak dalam ceramahnya tentang poligami tanpa langsung memikirkan sensitiviti kaum isteri di belakang sana. Baginya, salah satu kejayaan komunikasi berkesan dalam ceramah ialah apabila dapat membuatkan orang ketawa. Sudah tentu kaum suami akan ketawa apabila terdapat sesuatu unsur jenaka menyentuh soal ini.
Bukan setakat itu, ada yang lantang melaungkan bahawa apabila seorang muslim sengaja menjauhkan amal poligami ini, bahkan berusaha untuk menghindarinya nescaya akan datang perlecehan dari segala arah kerana orang-orang yg mengaku Muslim ternyata ‘enggan’ kepada amal. Dicanang bahawa poligami merupakan bukti amal agama yang dapat membezakan perilaku Muslim dengan bukan Muslim. Orang yang berpoligami diiktiraf sebagai orang yang sebenar-benarnya mengikut cara Rasul SAW dan juga para sahabat. Dia meyakinkan kaum lelaki bahawa tidak ada amal yang tidak disertai cubaan dan tentangan, maka janganlah surut dalam jihad untuk berpoligami.
Si isteri yang tidak banyak belajar tentang agama pula menganggap hujah suaminya itu suatu driskiminasi gender dalam Islam tanpa mengkaji sebab-musabab hujah itu benar-benar datang daripada Islam ataupun dorongan nafsu suaminya semata-mata. Akhirnya, dia memberontak dalam diam hingga cenderung mengikut golongan ekstrim.
Ada isteri yang terpaksa makan hati berulam jantung dalam membiarkan suaminya berpoligami walaupun dia sendiri tidak mengizinkan. Kenapa? Kerana dia tidak tahu hak-haknya dan tidak tahu bagaimana Islam memahami golongan wanita dalam hal ini. Lebih teruk apabila dia mula memberontak secara terbuka, mengamuk dan menyerang pihak yang dirasakan menzaliminya. Sudah menjadi sunnatullah[1], orang yang meredah hak orang lain tanpa izin, tanpa adab atau dengan kata nama lain dengan biadap selalunya akan menerima tindak balas yang tak beradab juga.
Jika dia memilih untuk sabar dan reda, alhamdulillah. Namun bimbang jika dia terus berburuk sangka dengan ajaran Islam kerana tidak tahu dia mempunyai hak untuk mengizinkan atau minta dibebaskan. Akibatnya, dia mudah terpesona dengan hujah-hujah logik oleh golongan ekstrim yang lebih berkiblatkan Barat. Tanpa ilmu dan kefahaman sebenar, mereka merasakan golongan ekstrim lebih memahami wanita berbanding Allah dan Rasulnya sendiri. Nau’zubillah.
Golongan Ekstrim
Golongan ini ialah golongan yang menolak dan menentang poligami. Sesetengahnya berusaha keras untuk mengharamkannya daripada praktik hidup masyarakat. Pelbagai cara digunakan samada berbentuk menafsir balikkan ayat al-Quran, mengambil pendapat-pendapat ulama yang terpencil dan sebagainya. Data dan statistik tentang berleluasanya poligami yang zalim di kalangan masyarakat dijadikan hujah logik untuk terus membanteras poligami.
Golongan ini biasanya lahir kerana tekanan menghadapi golongan tradisional. Pendek kata, sikap melampau golongan tradisonallah yang melahirkan sikap melampau golongan ekstrim. Biasanya mereka mempunyai hujah kuat terhadap Islam, dalam masa yang sama mengagumi pandangan Barat. Mereka sentiasa mengalami kemelut dalaman lantaran rasa rendah diri terhadap Barat. Mereka cuba melakukan pembelaan dengan bahasa emosi dan logik.
Golongan Pertengahan
Golongan pertengahan ialah golongan yang mengharuskan poligami bukan menggalakkannya.
Golongan ini melihat poligami sebagai suatu keharusan dalam maslahah-maslahah tertentu. Hukum asalnya ialah harus bukan sunnah sebagaimana hukum asal perkahwinan. Hukum asal ini boleh berubah menjadi wajib, sunnah, makruh dan haram mengikut situasi. Kes demi kes adalah berlainan. Dia tidak bersikap mengambil-mudah atau melampau.
Jika dia seorang suami, dia takut untuk sewenang-wenangnya memilih untuk berpoligami atas alasan yang rapuh seperti terjumpa balik bekas mak we, kasihan, jatuh cinta dan sebagainya kerana sedar persoalan Allah SWT amat berat bagi suami yang berpoligami. Sebaliknya, dia berusaha menjadi suami yang bertanggung-jawab, adil, amanah dan berwibawa untuk isterinya yang pertama. Pendek kata, dia takut berpoligami sebab takut dosa. Dia tahu, orang yang berpoligami dekat kepada berbuat aniaya.
Dia tidak mudah menyakiti hati isterinya dengan isu ini walaupun hanya untuk tujuan bergurau. Jika dia benar-benar menginginkannya atas maslahah tertentu seperti kegagalan isteri pertama memberikannya zuriat, isteri pertamanya berpenyakit yang menghalang kepuasan dan sebagainya, maka dia akan berpoligami dengan cara berbincang, memenangi kerelaan isteri pertama dan tidak sesekali menyembunyikannya.
Sebagai seorang isteri pula, dia tahu tugasnya ialah berusaha menjadi isteri terbaik. Andai diuji suaminya ingin berpoligami, dia tahu bahawa dia berhak memilih samada untuk mengizinkan atau tidak mengizinkan suaminya berpoligami. Dia tidak perlu menerimanya secara terpaksa atau menentangnya secara membabi-buta. Dia mempunyai hak-hak yang perlu diketahui samada dalam posisi mengizinkan atau tidak mengizinkan.
Ulama muktabar, Wahbah Zuhaili menulis dalam bukunya Al-Fiqh Wa adillatuhu bahawa ‘keizinan’ dalam urusan poligami adalah hak ekslusif seorang wanita. Sesiapapun tidak berhak memaksannya untuk mengizinkan jika dia enggan termasuklah orang perseorangan, organisasi, pertubuhan, atau mahkamah.
Dia tidak sesekali menafikan dalam maslahah-maslahah tertentu, keharusan berpoligami memang wajar. Namun, dalam situasi-situasi tertentu juga dia berhak menolak suaminya daripada berpoligami kerana yakin Islam sangat memahami kecemburuan hatinya dalam soal itu.
Dia juga banyak memuhasabah diri akan peranannya sebagai seorang isteri samada telah dilaksanakan sebaik mungkin atau tidak sebelum mempertikaikan hasrat suaminya. Isteri yang benar-benar telah berperanan yang terbaik sebagai seorang isteri serta mampu memberikan suaminya zuriat memang berhak memilih untuk tidak diduakan. Jika suaminya enggan, dia berhak memilih untuk diceraikan.
Kesimpulan
Jika anda pasangan yang mampu mengecap nikmat mawaddah, warahmah dan sakinah dengan satu isteri maka janganlah menggadaikan kebahagian itu dengan berfikir untuk berpoligami. Banyakkan berfikir tentang keperluan pendidikan anak-anak yang mengharungi zaman moden serba mencabar. Bukankah memiliki satu isteri itu lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya? Tidak zalim terhadap isteri dan anak-anak! Islam memakruhkan poligami. Ia harus untuk keperluan-keperluan tertentu sahaja. Moga kita bertakwa.
No comments:
Post a Comment